FIFA: Sebahagian Negara Tidak Menggunakan VAR Dengan Betul

Kerjasama Semuanya BOLA

Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino menyatakan kekecewaannya disebabkan sistem Video Pembantu Pengadil (VAR) tidak digunakan dengan betul di beberapa negara.

Ianya telah menyebabkan sering kali berlaku keputusan muktamad yang dibuat oleh pengadil di atas padang menimbulkan persoalan dan pertikaian sehingga banyak pihak semakin hilang kepercayaan kepada sistem tersebut.

“Ianya penting untuk mengetahui bahawa VAR adalah untuk membantu pengadil di atas padang membuat keputusan yang tepat.

“Ianya tidak sepatutnya ada seseorang yang lain membuat keputusan mewakili pengadil. Ini yang sepatutnya dilaksanakan di seluruh dunia.” kata Infantino seperti yang dilaporkan oleh Reuters.

Sejak kebelakangan ini, penggunaan VAR seringkali dilanda kontroversi sehingga memberi kesan kepada penonton yang merasakan ianya telah menghilangkan keseronokan menonton perlawanan bola sepak.

Ada yang mengatakan semakan semula memberikan keputusan yang salah dan pengadil mengambil masa yang terlalu lama untuk membuat keputusan.

Dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), di mana VAR telah mula diperkenalkan pada musim ini telah menerima banyak kritikan dan aduan mengenai pegawai perlawanan yang menonton video di bilik berasingan lebih banyak membuat keputusan berbanding pengadil di atas padang.

Pengurus Tottenham Hotspur, Jose Mourinho sebelum ini telah membuat sindiran dengan mengatakan nama VAR perlu ditukar kepada VR – Pengadil Video – kerana pengadil di atas padang tidak lagi membuat keputusan.

Menurut survey yang dibuat oleh YouGov, 67 peratus penyokong bola sepak mengatakan VAR telah menyebabkan perlawanan bola sepak tidak lagi seronok untuk ditonton dan hanya 8 peratus sahaja yang mahukan VAR dikekalkan.

“Pada awalnya di Itali, juga berlaku beberapa masalah dan menerima kritikan.  Jadi saya tidak akan menjadikan kritikan di England untuk menjadikan sistem ini sebagai sesuatu yang ‘gagal’ kerana ianya berjaya dilaksanakan dengan baik di tempat-tempat lain,” kata Infantino lagi.

“Saya rasa ianya normal apabila perkara baharu diperkenalkan kerana ini adalah apa yang sukan bola sepak perlukan selepas menungguh selama 150 tahun. Kita tidak boleh mengharapkan ianya akan terus menjadi sempurna.

“Tentunya ia mengambil masa untuk bertambah baik. Ianya satu sistem untuk membantu pengadil membuat keputusan yang tepat, tetapi ianya mungkin tidak digunakan dengan cara yang betul.”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram